ex-SM BUKIT MERCHU, KUALA KANGSAR (SRP'85 & SPM'87)

Sejarah Sek Men Bukit Merchu , Kuala Kangsar, Perak

        Dalam bulan Januari 1969, sebuah sekolah menengah aliran pengantar Melayu telah dibina di Jalan Kenas, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan. Sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kenas, Kuala Kangsar, Perak yang menampung pelajar dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga.

        Pada masa itu, sekolah ini cuma mempunyai tiga blok bangunan yang menempatkan bilik darjah, bilik Sains Rumah Tangga (SRT), bengkel Seni Perusahaan, pejabat dan kantin. Sekolah ini telah membuka kelas tingkatan empat aliran sastera pada tahun 1973. Dalam tahun yang sama, ia mendapat dua blok bangunan baru dua tingkat yang terdiri daripada enam bilik darjah, tiga makmal sains, sebuah perpustakaan dan dua bilik SRT.

        Pada tahun berikutnya, sekolah ini telah mula menjalankan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pada tahun 1975, ia telah menawarkan kelas tingkatan empat aliran sains. Pada 19 Ogos 1976, nama sekolah ini telah ditukarkan dengan rasminya kepada
Sekolah Menengah Bukit Merchu . Ia telah sempurna dirasmikan oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Idris Al-Mutawakil Alallahi Shah Ibni Sultan Iskandar Shah Kaddasallah. Nama sekolah ini diambil sempena nama sebuah bukit kecil yang mana terletak di atasnya istana lama Paduka Sultan yang dipanggil Istana Merchu. Pada tahun tersebut, sekolah ini menawarkan kelas tingkatan enam rendah. Pelajar berkenaan menduduki Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada akhir tahun 1977. Sekolah ini mendapat satu blok bangunan baru tiga tingkat iaitu Blok F yang mempunyai sepuluh bilik darjah, sebuah bilik guru, sebuah pusat sumber dan sebuah bilik Alat Pandang Dengar dalam tahun 1981.

        Pada tahun 1982, sekolah ini telah menawarkan kelas tingkatan enam aliran sains. Seterusnya, dalam tahun tersebut pelajar mula menduduki dua blok asrama baru iaitu Asrama Putera dan Puteri yang dapat menampung 200 pelajar. Manakala pada tahun 1993, sekolah ini telah membuka kelas Rancangan Khas Aliran Agama bagi pelajar tingkatan satu. Pada tahun 2001, sekolah ini telah menambahkan bentuk fizikalnya dengan pembinaan sebuah dewan , sebuah blok makmal komputer dan sebuah surau. Seterusnya pada tahun 2002 subjek ICT untuk SPM dan Computing STPM diperkenalkan.

           Pencapaian yang membanggakan setiap tahun telah menjulang nama SMK Bukit Merchu, Kuala Kangsar sehingga peringkat negeri.
 
(Diambil daripada website : http://smkbm-kk.com/index.php )